Tuesday, January 14, 2014
Usahawan dan Kebiasaan Tingkahlaku
Januari 2014, genap setahun aku memulakan perniagaan di dalam bidang latihan dan konsultansi. Satu cabang di dalam pendidikan yang fokus terhadap pembinaan kapasiti, pengetahuan dan sikap melalui metodologi "perkongsian pengalaman dan pengetahuan.
Dalam tempoh setahun ini, pelbagai dugaan dan peluang yang aku tempuhi, bermula dengan mendapatkan modal untuk berniaga. Aku Berjaya meyakinkan sahabat aku untuk meminjamkan sedikit wang sebagai modal permulaan. RM5k untuk pendaftaran perniagaan dan lesen berkaitan. RM5k untuk menyewa dan membayar deposit ofis dan utiliti.
Daripada RM10k inilah aku berdikit membina perniagaan. Sukar! sukar juga bermula dengan modal yang sedikit ini. Tak cukup sebenarnya, tetapi aku guna sedikit duit daripada bajet belanja rumah dan anak-anak. Aku kena ikat perut dan kurangkan perbelanjaan lain-lain. Defisit hampir RM1.5k-RM2k sebulan jugalah. Mana yang boleh aku kurangkan, aku kurangkan termasuk bajet minum teh dengan kawan-kawan.
Enam bulan pertama, agak mencabar kerana aku perlu mendaftarkan perniagaan dan mendapatkan lesen-lesen berkaitan. Dalam masa sama bertemu dan berbincang dengan kawan-kawan yang sudi mendengar cabaran dan keluh kesah usahawan baru. Aku juga turut berjumpa dengan beberapa tenaga pengajar yang berpengalaman untuk mendapatkan sokongan dan pandangan mereka. Ada pro dan kontra. Dalam tempuh ini, tiada jualan lagi.
Titik perubahan berlaku pada Ramadan yang lepas, bermula dengan program CSR - Memberi kelas percuma sebelah petang dan diikuti dengan majlis berbuka puasa untuk 65 anak-anak yatim dan miskin di Puri Pujangga UKM. Terima kasih kepada rakan-rakan dan juga Cagamas Berhad atas sokongan mereka. Selapas itu, aku mula diberi peluang untuk menyediakan tenaga pengajar kepada beberapa syarikat swasta dan kerajaan. Aku Berjaya membayar hampir 85% modal yang aku pinjam untuk memulakan perniagaan.
Genap setahun, aku kini bersedia untuk memasuki fasa ke dua perniagaan - Pembinaan Organisasi. Untuk fasa ini aku perlu mengukuhkan sistem pengurusan dan penyampaian. Membina bilangan tenaga pengajar dalaman dan juga membina jaringan baru pemasaran. tak lupa juga untuk aku mendapatkan lesen profesional sebagai tenaga pengajar.
Untuk fasa ini, aku anggarkan perlu modal sebanyak RM50k. Jadi aku dah jumpa abang di MARA. Merisik jika boleh bantu. Jawapannya mudah sahaja. Isi boring dan ikuti segala proses dengan sabar. Ikut pengalaman aku membantu kawan mendapatkan pinjaman MARA. paling cepat enam bulan bermula dari tarikh borang lengkap dihantar sehingga pemberian pinjaman. Maksudnya jika aku hantar
permohonan pada awal Februari, bulan Ogos baru dapat pinjaman. itupun jika tiada karenah birokrasi dan teknikal.
Aku anggarkan dapat atau tidak modal tersebut, aku perlu capai jualan sekitar RM250k - RM500k untuk tahun 2014 ini. Satu kadar pertumbuhan yang drastik berbanding tahun lalu. Untuk itu, aku perlu ubah kebiasaan yang aku lakukan sebelum ini. Ibarat kata orang putih:-
" Make small investments in your dreams each and every day you are given to live"
Bukan takat mengajar orang untuk melakukan Transformasi Minda, aku juga perlu melalui Transformasi ini untuk berjaya.
Semoga Berjaya.
Cheers.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment