Saturday, January 4, 2014

Adat, Adab Tunjang Kekuatan Bangsa

Setiap insan sering diingatkan bahawa hidup dikandung adat, mati dikandung tanah. Ia menunjukkan betapa pentingnya adat dalam kehidupan manusia. Daripada keturunan apa sekali pun, setiap individu tidak boleh lari daripada dipengaruhi sistem adat. Hanya mereka yang tidak beradat yang tidak faham pengertian adat dalam kehidupan seharian mereka. Bagi mereka yang melakukan tindakan di luar kelaziman sesuatu adat, biasanya mereka digelar manusia tidak beradat dan tidak beradab. Adat dalam konteks bahasa mudah adalah amalan turun-temurun yang diwarisi sesuatu kaum atau etnik dan diterima sebagai sistem nilai dalam kehidupan setiap masyarakat. Ia mungkin amalan tradisi berhubung menyambut kelahiran seseorang, cara sesebuah keluarga membesarkan anak, cara berhubung dengan individu lain hinggalah kepada setiap apa juga yang dilakukan setiap hari, ketika meraikan sesuatu perayaan dan sebagainya. Jika tinggi darjat seseorang itu, maka lebih besar dan meriahlah sesuatu majlis yang diadakan dan jika ia dilakukan secara rasmi ia menjadi satu acara adat istiadat. Pendek kata, apa juga yang dilakukan setiap hari mempunyai kaitan dengan adat. Kebudayaan sesuatu kaum atau etnik juga adalah berteraskan kepada adat. Malaysia kaya adat Di Malaysia, setiap kaum mempunyai adat mereka sendiri. Orang Melayu, Cina, India, Sikh, Kadazan, Iban, Dayak, Bidayuh dan sebagainya mengamalkan adat kaum dan etnik masing-masing. Itulah sebabnya Malaysia kaya dengan adat. Tanpa mengira kedudukan dan status, setiap kaum mengamalkan adat mereka tanpa halangan. Cara makan adalah adat. Begitu juga cara bercakap, menegur dan berurusan sesama manusia, malah bahasa yang digunakan mengambil kira persoalan adat – cara yang dibenar dan dilarang mengikut garis panduan yang ditentukan oleh adat kaum masing-masing. Setiap kaum ada tatacara adat dan adabnya. Dalam rumah hingga dalam istana perlu patuh kepada adat dan adab. Begitu juga adat dan adab dalam berkampung, bermukim, negeri dan negara, ada adatnya. Bagaimana pun, ada adat yang sebati dan sudah berakar umbi dan ada juga adat yang dicipta atas sesuatu tujuan dan kepentingan. Ada adat ciptaan yang tidak sesuai, malah terkeluar daripada batasan agama. Bagi penganut Islam, amalan yang tidak sesuai ini, jika diamalkan, adalah syirik. Bagi orang Melayu dan pribumi serta kaum lain di negara ini, adat diterima sebagai sistem sosiobudaya. Bagi orang Melayu, adat Melayu dimantapkan dengan berasaskan kepada tuntutan Islam. Sistem adat yang mereka amalkan diperkuatkan dengan amalan beragama dalam Islam. Itulah sebabnya adat diterima sebagai bersendikan hukum, hukum bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah. Di Malaysia, dalam apa juga bentuk perubahan pembangunan yang melanda, adat yang sudah bertapak dan diterima sebagai sebahagian amalan hidup, tidak pernah tergugat, malah terus digunakan. Ia menjadi kekuatan bangsa. Meskipun kemajuan negara sudah mengubah struktur sosial masyarakat, adat yang sudah bertapak dan sebati, terus kekal. Sukar dibayangkan apa yang mungkin terjadi jika sesuatu kaum tidak menjadikan adat sebagai pegangan dalam amalan seharian dalam masyarakat. Jika setiap individu bertindak mengikut cita rasa masing, negara tidak aman. Jika dalam sesebuah masyarakat ada individu yang bertindak bertentangan adat, kemungkinan besar ia dipulaukan dan dianggap sebagai kera sumbang. Amalan terus diperkukuh Dalam masyarakat Melayu, adat turun temurun terus diperkukuhkan walaupun pelbagai perubahan melanda kehidupan. Mereka terus memegang adat, malah mereka lebih sanggup mati anak daripada mati adat. Adat yang mereka amalkan sejak negara ini berteraskan negara pertanian hingga kepada negara perdagangan dan perindustrian, adat yang sama diteruskan. Jika dulu hidup di kampung tetapi sekarang di bandar, adat terus dibawa bersama dalam kehidupan. Walaupun berkedudukan tinggi dalam pentadbiran, berjawatan yang dihormati dalam sistem birokrasi dan korporat, mereka tetap mengamalkan adat. Jika ada orang mahu meminang anak mereka, ia mestilah mengikut adat. Meskipun ada segelintir yang menganggap bahawa adat sebagai perkara lapuk, setinggi mana pun kedudukan mereka, akhirnya mereka tetap kembali kepada adat, setidak-tidaknya dalam soal ritual. Mior Kamarul Shahid; Berita Harian 3 Jan 2014

No comments:

Post a Comment